''Kalau sudah kedekut sangat untuk menggunakan dana
masjid kerana masjid masih baru kononnya, umumkan sahaja kepada jamaah masjid
yang hadir, saya amat yakin, bukan sehaja RM50, malah lebih daripada itupun kita
boleh dibantu kerana rakyat Malaysia amat pemurah''.
Bulan lalu, saya(Ustaz Redzuan tee) didatangi oleh
seorang India Muslim yang telah memeluk Islam hampir 10 tahun dan memerlukan
bantuan, juga kunjungan follow up seorang warga Perancis yang ingin memeluk
Islam sebagaimana yang saya telah nyatakan sebelum ini. Dua kes yang berbeza,
tetapi matlamat sama iaitu mereka memerlukan pertolongan dan bimbingan. Apakah
peranan kita? Menerima dan membantu atau menolak mereka dengan pelbagai
alasan?
Dalam kes pertama, saya berasa agak pelik bagaimana India Muslim
tersebut boleh tahu tempat tinggal saya dan surau tempat saya selalu berjamaah,
yang mana saya juga adalah pengerusi surau itu. Beliau menunggu saya di surau
dari pagi sampai petang. Nasib baiklah saya turun berjamaah pada waktu maghrib,
jika tidak, beliau akan pulang dengan hampa dan tangan kosong.
Setelah
disiasat, barulah saya dapat tahu bahawa beliau sebelum ini telah pergi ke
sebuah masjid di Bandar Baru Ampang berhampiran surau tempat saya untuk
mendapatkan bantuan tambang bas bagi membolehkannya pulang ke rumahnya di Pulau
Pinang. Salah seorang ahli jawatankuasa masjid tersebut menyuruh beliau datang
berjumpa saya untuk mendapatkan bantuan.
Dipendekkan cerita, India Muslim
tersebut mahukan sedikit wang sebagai tambang balik. Sama ada beliau ikhlas atau
tidak, kita serahkan pada Allah swt. Apa yang penting ialah beliau adalah
seorang saudara Muslim melalui bukti dokumen yang dibawanya dan telah datang
kepada kita meminta pertolongan.
Persoalannya, kenapa sebuah masjid yang
mempunyai dana dan kutipan jumaat yang banyak tidak dapat membantu saudara
Muslim walaupun sedikit. Kenapa harus dirujukkan kepada saya? Adakah saya
seorang hartawan? Bantuan yang diperlukan hanya wang sekitar RM50 - RM100 sahaja
bagi membolehkan beliau pulang ke destinasi.
Alasan yang diberikan oleh
masjid tersebut adalah masjidnya masih baru (satu tahun), nazirnya belum
dilantik dan jawatankuasanya baru dibentuk. Apakah alasan tersebut begitu kuat
untuk kita menolak bantuan seorang saudara Muslim yang memerlukan dan telah
datang kepada kita meminta bantuan? Inilah mentaliti yang mesti berubah dan
diubah. Jika tidak, Islam akan terus dipandang rendah dan sukar untuk
berkembang.
Jika perkara sekecil ini dirujuk kepada insan kerdil seperti
kami dan rakan-rakan senasib, apakah peranan kita sebagai umat Islam yang
bersaudara? Saban hari kami menerima panggilan telefon berhadapan dengan
masalah-masalah saudara Muslim yang memerlukan bantuan dan bimbingan. Letih juga
dibuatnya. Ini tidak termasuk kerja-kerja kemasyarakat yang lain.
Jika
semua mengharapkan satu pihak sahaja yang membantu, akhirnya sekuat mana pun
seseorang itu, akhirnya akan rebah juga dibuatnya. Akibatnya, sudah tentu
kerja-kerja dakwah akan tergendala. Persoalannya, kenapa kita tidak pakat-pakat
bersama-sama melakukannya? Bukankah kita semua adalah seorang (pendakwah dan
khalifah) yang bertangunggjawab menyampaikan walaupun satu ayat dan membantu
walaupun sedikit. Sekurang-kurangnya kita berikhtiar, dan bukannya mengambil
jalan singkat serta mengelakkan diri.
Sepatutnya, masing-masing membantu
sekadar termampu. Rujukan kepada orang-orang tertentu hanya dilakukan setelah
kita lakukan sebaik mungkin untuk membantu. Bantuan tidak sekadar dengan wang
ringgit, tetapi melalui motivasi, tenaga dan sebagainya. Dalam kes ini, sekadar
untuk memenuhi keperluan tambang bas, sudah tentu jumlahnya tidaklah
banyak. Kalau sudah kedekut sangat untuk menggunakan dana masjid
kerana masjid masih baru kononnya, umumkan sahaja kepada jamaah masjid yang
hadir, saya amat yakin, bukan sehaja RM50, malah lebih daripada itupun kita
boleh dibantu kerana rakyat Malaysia amat pemurah.
Saya teringat kepada
satu kisah tentang empat orang yang bernama Semua, Seseorang, Sesiapa dan Tiada.
Terdapat satu tugas mustahak untuk disempurnakan dan Semua diminta melakukannya.
Semua yakin dapat melakukannya. Seseorang akan melakukannya. Sesiapa mungkin
telah melakukannya, tetapi Tiada yang melakukannya. Seseorang menjadi marah
terhadapnya, kerana itu tugas Semua. Semua menganggap Sesiapa sahaja dapat
melakukannya. Tiada yang menyedari bahawa Semua tidak mungkin melakukannya.
Perkara ini berakhir dengan Semua mencemuh Seseorang apabila Tiada yang
melakukan apa yang Sesiapa mungkin telah lakukan.
Saya harap pembaca
dapat memahami kisah mudah di atas. Inilah akibatnya apabila semua saling harap
mengharap. Kerja-kerja yang sepatutnya menjadi tanggungjawab langsung tidak
berjalan. Bayangkan jika semua melakukannya mengikut kemampuan masing-masing,
sudah tentu kita akan dapat keputusan yang memuaskan. Jangan sampai kerja yang
begitu mudah, kita merujuk kepada orang yang sepatutnya kita tidak perlu rujuk.
Inilah akibatnya apabila dalam fahaman kita, kerja-kerja dakwah dan kerja-kerja
berkaitan saudara Muslim, adalah tugas orang-orang tertentu atau orang seperti
kami, yang lain tidak perlu melakukannya. Ataupun kerja-kerja Islam (termasuk
berdakwah) adalah tanggungjawab orang agama (ustaz atau ustazah), orang lain
tidak payah, akhirnya sebahagian mengambil sikap melepas tangan.
Sama
juga isu, kita bebankan semua perkara ini kepada badan-badan tertentu seperti
pejabat agama dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan
Kebajikan Islam Malaysia dan Persatuan Cina Muslim atau India Muslim Malaysia
dan sebagainya. Ya, memang badan-badan ini perlu dirujuk dalam kerja-kerja
dakwah dan proses pengIslaman, tetapi tidak semua perkara perlu dirujuk kepada
mereka. Perkara-perkara terutama berkaitan dengan kebajikan mereka, adalah dalam
lingkungan kita berkemampuan untuk membantunya. Tidakkah dengan saling membantu
kita dapat meringankan beban dan tanggungjawab sesama kita. Akhirnya, semua
tugas menjadi mudah, sebab yang berat sama dipikul dan yang ringan sama
dijinjing.